Widad tersentak. Jiwanya terasa galau. Tudung litup labuh yang
dipakainya diperkemas kerana angin yang bertiup pada petang itu agak kencang.
Otaknya ligat memikirkan jalan penyelesaian namun masih menemui jalan buntu.
Dalam hitungannya, sudah lebih daripada sebulan Iman menghilangkan diri. Semenjak Widad pulang ke
tanah air,dia masih belum bertemu dengan
Iman.
Widad bermonolog di dalam hati, “Mungkin Iman sihat-sihat sahaja.
Kadang-kadang, ada baiknya aku berpisah dengan Iman. Kata orang, jika selalu
bersama, akan timbul rasa bosan”. Widad cuba menyedapkan hati atas kehilangan
Iman. “Namun, mengapa jiwaku semakin resah?” bentak hati Widad. Ternyata
jiwanya resah tanpa Iman.
Iman sering menasihati Widad. Katanya “Hidup di muka Bumi, ciptaan
Tuhan ini punya tujuan. Mustahil Allah Yang Maha Esa menciptakan sesuatu dengan
sia-sia. Hatta seekor lalat pun, punya fungsi dan faedahnya inikan manusia
sebaik-baik ciptaan” Setiap kalimat yang dilontarkan Iman meresap masuk
memenuhi jiwanya. Terasa tenang sekali apabila diingatkan sebegitu oleh seorang
teman. Widad inginkan kepastian,“Jadi, apakah tujuan hidup manusia itu?”. Iman
tersenyum mesra dan kembali menyoal “Widad rasa?”. Soalan Widad berbalas dengan
soalan, “Bagi Widad, hidup manusia ini untuk mendapatkan yang terbaik dalam
hidupnya. Jika dia seorang pelajar, dia mestilah menjadi pelajar terbaik. Jika
seorang pekerja, dia mestilah menjadi pekerja terbaik. Senang kata, terbaiklah”
balas Widad sambil menunjukkan tanda bagus.
Telatah Widad disambut dengan ketawa Iman, “Widad, Allah juga suka
sekira hambanya melakukan yang terbaik dalam urusannya seperti hadis Rasulullah
S.A.W “ Sesungguhnya Allah menyukai
apabila seorang hambanya melakukan sesuatu amalan, dia melakukannya dengan
bersungguh-sungguh” Namun melakukan terbaik, bukanlah semata-mata tujuan
hidup. Firman Allah S.W.T : Aku tidak
menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu
(Al-Dzariyat: 56). Al-Quran ibarat buku panduan manual yang Allah turunkan
sebagai sumber rujukan buat hamba-hambaNya dalam menguruskan kehidupan. Terang
lagi bersuluh, Allah nyatakan tujuan manusia diciptakan. Jadi, mengapa harus
kita ingkar kepada tujuan hidup kita itu.”
Penjelasan Iman beserta dalil membuat Widad tersedar dan mempersoal
dirinya , “Adakah aku sudah memenuhi tujuan hidupku?” . “Jika begitu, Iman kena
tolong Widad untuk mencapai tujuan hidup yang hakiki itu.” rayu Widad. Sekali
lagi, Iman tersenyum mesra, “Insya-Allah Widad, kita bersama-sama berusaha
mencari redhaNya. Nah, Iman ada hadiah untuk Widad”. Widad menyambut bungkusan
bewarna biru yang dihulur Iman “Iman, hadiah apa ini? Kenapa beri Widad? Hari
ini bukan hari lahir Widad.” Iman memang tidak lekang dengan senyumannya
“Anggaplah hadiah itu sebagai peneman Widad jika Iman tiada. Sifat iman manusia
tidak seperti malaikat yang selalu menaik. Iman manusia ada turun dan naiknya.
Semoga buku ini dapat menguatkan Widad sekiranya Iman tiada di sisi Widad pada waktu
itu.”
***
Suasana petang di
kebun epal seluas 10 hektar itu sungguh menenangkan dan redup. .Widad menarik
nafas dalam dan perlahan-lahan bersandar di bawah sepohon pokok epal rendang
hasil titik peluh datuknya. Kini kebun itu telah diwarisi oleh ayahnya semenjak
datuk meninggal dunia 2 tahun yang lepas. Widad masih disitu… Bertafakur,
menikmati udara nyaman petang sambil mengenang setiap detik dia bersama Iman.
Buku “al-munthalaq” hadiah daripada Iman diselak-selak. Matanya tertacap pada
satu ayat yang dihighlight . “ Mereka yang menanam pohonnya, kita
yang menikmati hasilnya. Seterusnya kita pula yang akan menanam pohon supaya
buahnya boleh dimakan oleh generasi yang akan datang”. Widad terpana.
Ternyata ayat dalam buku itu bukan sekadar teori semata, malah buktinya sedang
terbentang luas di hadapan mata.
Widad bermonolog “30 tahun dahulu, datuk yang bersusah payah mengusahakan projek
penanaman pohon epal di Malaysia. Pada mulanya, kelihatan mustahil kerana iklim
Malaysia yang tidak sesuai dengan tumbesaran buah tersebut. Namun hasil usaha
gigih dan tidak kenal erti putus asa, datuk berjaya membawa satu anjakan. Kini,
Malaysia tidak lagi perlu mengimport buah epal . Malah aku sebagai cucunya juga
masih dapat merasakan hasilnya. Kebun epal inilah punca pencarian ayah.”
“SubahanAllah…” terpacul spontan daripada mulut Widad. Usaha orang terdahulu
telah memudahkan orang zaman sekarang.
Widad membuat persamaan “Ironinya, buah-buah iman yang kita peroleh
kini adalah hasil titik peluh Rasulullah S.A.W dan para sahabat pada suatu
ketika dahulu. Baginda dan sahabat disakiti kerana ingin menyampaikan iman
kepada semua penduduk Mekah malah sehingga ke generasi kini.Jadi, layakkah aku
membiarkan iman itu hilang? Tidak… Aku akan mencari iman itu kembali. Ya Allah,
kurniakanlah aku jalan untuk menemui Iman.” Bait lagu yang Iman selalu
nasyidkan berkumandang di gegendang telinga Widad. Sungguh merdu alunannya.
“ Kita ini adalah angkatan musafir dalam hidup ini
Menjadi penghubung barisan yang mendatang dengan mereka yang telah
lalu
Mereka yang terdahulu telah menunjukkan jalan ini kepada kita
Wajib pula kita menunjukkan jalan kepada generasi depan”
***
Manusia, sesuai dengan namanya “nasit” sering sahaja bersifat lupa.
Kadang-kadang manusia terlupa dalam dirinya telah kehilangan sesuatu yang
begitu berharga dek sibuk melayan keseronokkan kehidupan dunia. Namun, ramai
yang tidak menyedari hakikat keseronokkan yang dikejar itu hanyalah bersifat
sementara. Oleh itu, hanya manusia yang mempunyai sifat sedar dan berpandangan
jauh sahaja yang akan memilih jalan menentang arus kerana dia menyakini
kehidupan dan kebahagiaan yang abadi adalah di Firdausi… Semoga Widad
berjaya menemui Iman kembali.