Pages

Sunday, August 7, 2011

Salam Ramadhan


        BETULKAN YANG BIASA, BIASAKAN YANG BETUL

 Secara peribadi quote ini seperti memberi makna yang padat. Nampak simple, tapi apabila dirungkaikan pengertiannya mampu memberi impak besar dalam hidup. Alhamdulillah kini kita diberi lagi peluang untuk berada dalam bulan Ramadhan yang mulia. Jom, pertingkatkan jual beli kita dengan Allah!

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
                                                                               ( al-Mulk : 2)


Pada bulan ini, syaitan dibelenggu dan hanya hawa nafsu yang menjadi musuh amal. Maka, andai kita ingin melakukan perubahan, inilah bulan yang harus kita manfaatkan. Allah.. semua amal Allah dilipat gandakan ganjaran. Takkan kita ingin biarkan ia berlalu dan tidak merebut peluang? Andai ada sale untuk raya, mesti kita telah pergi beratur panjangkan. :)


MEMBETULKAN YANG BIASA  


  Baik, sekarang mari kita lakukan check list. Apakah amal yang biasa kita lakukan? Adakah perkara-perkara yang biasa kita lakukan itu betul di sisi Islam?



1) menonton televisyen
2) tidur yang lama
3) makan dengan kadar yang banyak
4) bersembang perkara yang tidak memberi manfaat + tidak tambah iman
5) solat di pertengahan waktu
6) .....
7) .....


Perkara di atas bukanlah haram di sisi Islam cumanya Mukmin yang sejati itu tidak akan membiarkan Ramadhannya dengan kebiasaanya yang biasa-biasa sahaja. Harus ada peningkatan dalam bulan Ramadhan ini. Kan syaitan sudah ditambat. nafsu kita harus dididik untuk menjadi nafsu yang mutmainnah.
Iaitu nafsu yang telah mencapai rasa ketenangan dan ketenteraman, selalu kembali kepada Allah. Nafsu pada tingkat yang keempat.




"Hai jiwa yang tenang (muthmainah) kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang ridha dan diridhai-Nya masuklah ke dalam kumpulan hambaku dan masuklah ke dalam syurga-Ku."
                                                                     ( Al-Fajr : 27, 28, 29, 30)




Menonton televisyen, kita boleh tukarkan dengan tadarus al-Quran @ rancangan yang memberi manfaat,bukannya rancangan yang menambah maksiat. Tidur, biarlah yang berpatutan, tidak perlu menjadi baby. Secara saintifiknya, melatonin manusia dewasa semakin berkurang. Melatonin inilah antara kimia yang menyebabkan kita terangsang untuk tidur. Makan berlebihan, Rasulullah S.A.W. sukakan umatnya yg mutawwasit (pertengahan). Pesan baginda, Berhentilah makan sebelum kenyang. Nah, kita telah meengamalkan salah satu sunah Rasulullah S.A.W secara tidak langsung. Bersembang. Baik kita diam daripada berkata-kata yang tidak berfaedah. Lagi baik, bulan yang mulia ini kita biasakan diri untuk membincangkan perkara-perkara yang menambahkan iman seperti sirah nabi, bagaimana ingin istiqamah, dan sebagainya.Tambahan kalau bersembang dengan bukan mahram tanpa urusan yang penting. Agak-agak ciri mukmin sejati itu macam itukah? Tepuk dada tanya iman. Solat. Perkara pertama yang harus dijaga. Tiada panggilan yang lebih penting dari panggilanNya. Haiya A'la Solah, Haiya A'la Falah.


Langkah seterusnya ialah, 


MEMBIASAKAN YANG BETUL


Sebelum saya terlupa, senarai-senarai di atas hanyalah contoh. Tempat ke 6, 7, 8, dan seterusnya boleh diisi sendiri. Sama-sama bermuhasabah menilai amal kita. Menghisab diri sebelum diri ini dihisab. Untuk membiasakan diri dengan perkara yang betul pastinya perlukan mujahadah yang tinggi. Kecekalan hati akan kita temui andai asas kefahaman kita mantap. Oleh itu, berubah ke arah kebaikan bukanlah sekadar taqlid (mengikut) semata-mata tetapi memerlukan kefahaman yang benar. Kenapa kita ingin melakukan perubahan? Kenapa kita harus berubah? Saya rasa jawapannya adalah subjektif bagi setiap individu. Cumanya, rata-rata yang kita lihat, insan yang mengamalkan gaya hidup berlandaskan Islam terpancar pada diri mereka satu ketenangan. Ya, hati akan menjadi tenang apabila  kita kembali kepada agama fitrah, iaitu Islam. 


Seorang muslim akan berusaha bersungguh untuk berubah kerana firman Allah S.W.T dalam kitabNya yang aziz,


 "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, hingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri"
                       ( Al-Anfaal :53 )


Rasulullah juga ada memberi panduan untuk umatnya membezakan perkara yang hak dan yang batil,

Pada suatu hari, Rasulullah SAW ditanya tentang kebajikan dan keburukan (dosa). Jawabnya, “Kebajikan (al-birr) adalah budi pakerti luhur (husn al-huluq), sedangkan keburukan atau dosa (al-itsm) adalah apa yang membuat hatimu resah, dan kamu tidak ingin orang lain mengetahuinya.” (HR. Muslim dari Ibn Sam`an al-Anshari).


Jom kita berusaha untuk membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul. Moga Ramadhan kali ini membawa natijah yang besar dalam hidup kita. Bak kata orang, Ramdhan yang sama, tapi natijah yang berbeza. Apa-apa pun moga natijahnya membawa kebaikan dan peningkatan dalam diri. Selamat menjalani madrasah Ramdhan. Wallahua'lam.